Soalan-Soalan Lazim
1. Apakah itu MQA?
2. Mengapakah MQA menggantikan LAN?
3. Adakah fungsi MQA sama dengan LAN?
4. Dengan adanya MQA, bagaimana status kursus pengajian yang telah diakredit oleh LAN?
5. Apa yang dimaksudkan dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework,
MQF)?
6. Apakah yang dimaksudkan dengan tahap kelayakan dan laluan pendidikan di dalam MQF?
7. Apakah yang dimaksudkan dengan hasil pembelajaran (learning outcome)?
8. Apakah yang dimaksudkan dengan sistem kredit berasaskan Student Learning Time (SLT)?
9. Apakah kriteria yang digunakan MQA dalam menilai kursus pengajian di IPT?
10. Apakah yang dimaksudkan dengan Kelulusan?
11. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi Provisional?
12. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi?
13. Apakah perbezaan antara Akreditasi dan Pengiktirafan?
14. Adakah program IPTA turut diakredit oleh MQA?
15. Adakah pihak MQA menjalankan penilaian Akreditasi dan memberi pengiktirafan kepada IPT di luar
negara?
16. Berapa lamakah tempoh sah laku Akreditasi MQA?
17. Bagaimana hendak menyemak senarai kursus pengajian yang telah diakredit MQA?
18. Apakah yang dimaksudkan dengan Malaysian Qualifications Register (MQR)?
19. Apakah kelebihan program yang diakredit dan didaftar dalam MQR?
20. Adakah pihak IPT boleh menggunakan logo MQA untuk tujuan pengiklanan atau masih menggunakan
logo LAN?
Jawapan
1. Apakah itu MQA?
Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA)
merupakan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang telah
ditubuhkan pada 1 November 2007 dengan berkuatkuasanya Akta Agensi
Kelayakan Malaysia (Akta 679).
MQA merupakan agensi baru yang ditubuhkan dengan penggabungan Lembaga
Akreditasi Negara (LAN) yang mengawal kualiti program pengajian di IPTS
dengan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi yang
mengendalikan penilaian jaminan kualiti program di IPTA sebelum ini.
Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi
Malaysia terletak di bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan
semua IPT. MQA juga adalah pemegang amanah Kerangka Kelayakan Malaysia
(Malaysian Qualifications Framework, MQF) yang merupakan ’perlembagaan’
pengajian tinggi negara.
2. Mengapakah MQA menggantikan LAN?
Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi
Malaysia terletak di bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan
semua IPT yang terdiri daripada IPTA, IPTS, Politeknik, Kolej Komuniti,
dan IPT di bawah kementerian lain. Di bawah LAN dahulu, skop penilaian
jaminan kualiti hanya tertumpu kepada IPTS sahaja.
Penubuhan MQA juga adalah atas rasional untuk mewujudkan dan
melaksanakan perkara utama yang menjadi ciri penting menjadikan Malaysia
sebagai negara yang mempunyai reputasi baik dalam pendidikan tinggi
iaitu :
1. Menubuhkan sebuah badan jaminan kualiti yang seragam, adil dan telus (MQA)
2. Membangunkan Kerangka Kelayakan Kebangsaan sebagai rujukan semua kelayakan (MQF)
3. Mewujudkan pusat maklumat yang sahih dan dipercayai (Malaysian Qualifications Register, MQR).
3. Adakah fungsi MQA sama dengan LAN?
Secara amnya, MQA masih menjalankan fungsi LAN sebelum ini khususnya
dalam menjamin kualiti pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, MQA juga
menjalankan pelbagai fungsi lain seperti berikut :
1. Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan Kelayakan di Malaysia;
2. Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan
dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
3. Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
4. Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang
ditetapkan;
5. Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
6. Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)
4. Dengan adanya MQA, bagaimana status kursus pengajian yang telah diakredit oleh LAN?
Program yang telah mendapat Akreditasi LAN yang masih dalam tempoh sah
laku akan didaftarkan di dalam portal MQR. Tetapi apabila program
tersebut telah tamat tempoh sah laku, ia perlu melalui penilaian MQA
bagi tujuan Akreditasi.
5. Apa yang dimaksudkan dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF)?
MQF adalah deklarasi Malaysia tentang kelayakan-kelayakan tempatan dan
kualiti yang dimiliki oleh kelayakan-kelayakan tersebut. MQF merupakan
alat yang membangun dan mengklasifikasikan kelayakan berdasarkan satu
set kriteria yang dipersetujui kebangsaan dan ditanda aras amalan
antarabangsa yang menjelaskan tahap-tahap pembelajaran yang dicapai,
hasil pembelajaran bidang pengajian dan sistem kredit yang berasaskan
beban pembelajaran pelajar. Kriteria ini diguna pakai bagi semua
kelayakan yang dianugerah pemberi pendidikan tinggi yang diiktiraf. MQF
menyatupadukan semua kelayakan negara.
MQF juga menyediakan laluan-laluan pendidikan yang menghubung kait
kelayakan-kelayakan di dalamnya secara sistematik, yang membolehkan
individu memajukan diri melalui pemindahan kredit dan pengakreditan
pengalaman-pengalaman terkumpul (accreditation of prior experiential
learning) dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam konteks jaminan kualiti negara, MQF merupakan ’perlembagaan’
pengajian tinggi yang mana prinsip-prinsip umumnya harus dipatuhi oleh
setiap program dan kelayakan yang ditawar dan dianugerah oleh pemberi
pendidikan tinggi. Prinsip-prinsip umum MQF meliputi definisi kelayakan,
sektor penganugerahan kelayakan, tahap kelayakan, hasil pembelajaran,
kredit dan beban pembelajaran, profil dan laluan pendidikan tinggi bagi
kemajuan indidvidu.
6. Apakah yang dimaksudkan dengan tahap kelayakan dan laluan pendidikan di dalam MQF?
MQF menyediakan tahap kelayakan dan laluan pendidikan yang
menghubungkaitkan kelayakan-kelayakan secara sistematik. Ini membolehkan
individu memajukan diri dalam pendidikan tinggi melalui pemindahan
kredit dan pengiktirafan pengalaman-pembelajaran terkumpul
(accreditation of prior experiental learning) yang diperoleh daripada
pembelajaran formal, tidak formal dan informal tanpa mengira masa dan
tempat, dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.
Terdapat lapan tahap kelayakan di dalam MQF yang mewakili tiga sektor
pendidikan tinggi negara dan disokong oleh laluan pendidikan sepanjang
hayat. Sektor tersebut adalah (a) Sektor Kemahiran; (b) Sektor
Vokasional dan Teknikal; dan (c) Sektor Pengajian Tinggi.
Sijil Kemahiran yang dianugerahkan dalam Sektor Kemahiran berada di
Tahap 1 hingga 3. Sijil Pengajian Tinggi dan Vokasional dan Teknikal
berada di Tahap 3. Manakala Diploma dan Diploma Lanjutan berada di Tahap
4 dan 5. Ijazah Sarjana Muda berada pada Tahap 6 diikuti dengan Ijazah
Sarjana (Tahap 7) dan Ijazah Kedoktoran (Tahap 8).
Setiap tahap adalah dibezakan oleh hasil pembelajaran dan jam kredit berasaskan kepada beban belajar pelajar.
Maklumat lanjut layari http://www.mqa.gov.my/dokumen/KERANGKA%20KELAYAKAN%20MALAYSIA_2011.pdf
7. Apakah yang dimaksudkan dengan hasil pembelajaran (learning outcome)?
Pencapaian pelajar diukur oleh hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran
ini menetapkan kompetensi yang patut diperoleh oleh pelajar apabila
selesai mengikuti satu-satu program pengajian. Ciri-ciri ini terkandung
dalam lapan domain hasil pembelajaran iaitu;
1. Pengetahuan ilmu bidang;
2. Kemahiran praktikal;
3. Kemahiran dan tanggungjawab sosial;
4. Nilai, sikap dan profesionalisme;
5. Kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan;
6. Kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran saintifik;
7. Kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; dan
8. Kemahiran mengurus dan keusahawanan.
Pencapaian hasil pembelajaran ini pula akan diukur menggunakan pengiraan
sistem kredit yang berasaskan kepada beban sebenar jam pembelajaran
pelajar (student learning time) dan tidak lagi berasaskan jam kontak
antara pensyarah dan pelajar.
8. Apakah yang dimaksudkan dengan sistem kredit berasaskan Student Learning Time (SLT)?
Student Learning Time (SLT) bermaksud beban sebenar jam pembelajaran
pelajar yang mengambil kira semua aktiviti pembelajaran termasuk
persediaan material di perpustakaan dan pencarian sumber maklumat di
internet. SLT diambil kira bukannya berasaskan kepada jam kontak antara
pensyarah dan pelajar semata-mata.
9. Apakah kriteria yang digunakan MQA dalam menilai kursus pengajian di IPT?
9. Apakah kriteria yang digunakan MQA dalam menilai kursus pengajian di IPT?
Selain berpandukan kepada MQF, MQA juga telah membangunkan Kod Amalan
Program Akreditasi dan Kod Amalan Audit Institusi. Kod-kod amalan ini
menetapkan sembilan (9) aspek utama yang dijamin oleh MQA iaitu :
1. Visi, misi dan hasil pembelajaran
2. Rekabentuk program dan penyampaian
3. Kepilihan dan sistem sokongan pelajar
4. Penilaian pelajar
5. Staf akademik
6. Sumber pendidikan/kemudahan pengajaran dan pembelajaran
7. Penilaian program
8. Kepimpinan, governan dan pentadbiran
9. Penambahbaikan kualiti berterusan
10. Apakah yang dimaksudkan dengan Kelulusan?
Kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi bagi
membolehkan IPT mengendalikan sesuatu program pengajian. Kelulusan wajib
diperoleh sebelum IPT dibenarkan mengendalikan program pengajian. Walau
bagaimanapun, kelulusan ini tidak bermaksud satu-satu program itu telah
diakredit oleh MQA atau telah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA).
11. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi Provisional?
Akreditasi Provisional bermaksud fasa awal penilaian sesuatu program
yang menuju kepada Akreditasi (Penuh). Ia bertujuan untuk membantu dan
mempermudahkan IPT mendapat Akreditasi bagi program yang telah
diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan syarat ia
meningkatkan kualiti dan standard yang dinyatakan.
12. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi?
Akreditasi merupakan satu perakuan rasmi kepada IPT bahawa sijil,
diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan adalah
selaras dengan standard yang ditetapkan oleh MQA.
13. Apakah perbezaan antara Akreditasi dan Pengiktirafan?
Akreditasi merupakan pengesahan pencapaian kualiti dalam penilaian
jaminan kualiti yang dilaksanakan oleh MQA. Ia merupakan jaminan MQA
kepada pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan tinggi
termasuk para pelajar, ibu bapa, majikan dan lain-lain bahawa program
pengajian yang diakredit oleh MQA merupakan program berkualiti. Ia juga
merupakan platform atau asas kepada pihak-pihak lain untuk mengiktiraf
program dan kelayakan tersebut bagi tujuan-tujuan yang berlainan.
Pengikitirafan pula bermaksud penerimaan satu-satu kelayakan oleh
pihak-pihak tertentu bagi tujuan tertentu. Sebagai contoh, pengiktirafan
kerajaan melalui JPA adalah syarat untuk dipertimbangkan berkhidmat di
sektor awam. Sebagai makluman, JPA hanya akan mengiktiraf program
pengajian yang telah mendapat akreditasi MQA bagi maksud berkhidmat
dengan kerajaan.
14. Adakah program IPTA turut diakredit oleh MQA?
Program pengajian IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti turut diakredit
oleh MQA. Walau bagaimanapun, semua program berkenaan yang telah
mendapat pengiktirafan JPA sebelum MQA ditubuhkan akan didaftarkan terus
ke dalam MQR. (Pengemaskinian maklumat program IPTA sentiasa dibuat
dari semasa ke semasa). Manakala bagi program baru yang hendak
dikendalikan, ia akan tertakluk kepada proses jaminan kualiti yang
ditetapkan oleh MQA.
15. Adakah pihak MQA menjalankan penilaian Akreditasi dan memberi pengiktirafan kepada IPT di luar negara?
Tidak. Pengiktirafan kerajaan Malaysia ke atas IPT luar negara adalah di bawah bidang kuasa JPA.
Buat masa ini MQA hanya melaksanakan jaminan kualiti ke atas program
dari institusi tempatan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat
permohonan dari institusi luar negara untuk mendapatkan akreditasi MQA,
ia akan dipertimbangkan.
16. Berapa lamakah tempoh sah laku Akreditasi MQA?
Akreditasi program di bawah MQA tiada tempoh sah laku tetapi pihak MQA
akan menjalankan proses pemantauan di institusi berkenaan untuk
memastikan kualiti program-program tersebut terus dipertingkat.
17. Bagaimana hendak menyemak senarai kursus pengajian yang telah diakredit MQA?
Semakan senarai program yang telah diakredit MQA boleh dibuat dengan
melayari portal MQR. Terdapat pelbagai cara untuk mencari maklumat yang
dikehendaki seperti panduan berikut:
1. Layari Laman Sesawang MQA di alamat http://www.mqa.gov.my --> klik
pada butang MQR di bahagian perkhidmatan dalam talian; atau
2. Layari http://www.mqa.gov.my/mqr/index.htm. Kemudian rujuk kepada
tajuk Panduan dalam portal MQR. Semakan boleh dibuat melalui pelbagai
kata kunci (keyword) contohnya nama kelayakan, nama IPT, bidang
pengajian dan sebagainya.
18. Apakah yang dimaksudkan dengan Malaysian Qualifications Register (MQR)?
MQR merupakan sumber rujukan dan panduan berkaitan program pendidikan
tinggi yang menyenaraikan semua kelayakan yang telah diakreditkan dan
dianugerahkan oleh Pemberi Pendidikan Tinggi sama ada dari dalam dalam
dan luar negara. Program atau kelayakan ini hendaklah selaras dengan
Kerangka Kelayakan Malaysia.
MQR diwujudkan bertujuan :
1. Menyediakan maklumat mengenai semua kelayakan berdasarkan program yang telah diakredit;
2. Membolehkan semua pihak berkepentingan mengetahui, memahami serta membuat perbandingan
mengenai ciri-ciri sesuatu kelayakan dan hubungkaitnya dengan kelayakan yang lain; dan
3. Memudahkan proses pemindahan kredit.
4. Maklumat yang terkandung dalam MQR adalah seperti berikut:
5. Nama dan alamat IPT;
6. Nombor rujukan kelayakan;
7. Nama kelayakan;
8. Bidang kelayakan;
9. Tempoh sahlaku;
10. Tahap kelayakan;
11. Tempoh pengajian; dan
12. Jam kredit bergraduat.
Maklumat tambahan seperti penyataan hasil pembelajaran program, syarat
kelayakan masuk dan sebagainya akan dimasukkan dari semasa ke semasa.
Maklumat dalam MQR juga boleh digunakan untuk mengeluarkan perakuan atau
pernyataan yang jelas tentang sesuatu kelayakan yang telah didaftarkan.
Pihak yang berkepentingan termasuk masyarakat umum boleh merujuk kepada
MQR untuk mendapatkan pengesahan mengenai status sesuatu kelayakan.
Cabutan daripada Daftar Kelayakan ini boleh dikeluarkan tertakluk kepada
permintaan pihak berkenaan.
19. Apakah kelebihan program yang diakredit dan didaftar dalam MQR?
Antara kelebihan program atau kursus yang didaftar dalam MQR adalah seperti berikut:
1. Memudahkan pelajar mendapat bantuan kewangan antaranya seperti layak dipertimbangkan untuk
mendapat pinjaman daripada agensi pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional
(PTPTN).
2. Memudahkan pemindahan kredit tertakluk kepada syarat-syarat dan keputusan muktamad institusi
terbabit.
3. Membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di institusi tempatan atau luar negara.
4. Pelajar layak dipertimbangkan untuk menjawat jawatan awam. Selain itu, majikan sektor
swasta turut menekankan program yang telah mendapat akreditasi dalam membuat pengambilan
pekerja mereka.
5. Institusi boleh memfrancais program yang diakredit kepada institusi lain, tertakluk kepada
syarat-syarat tertentu.
20. Adakah pihak IPT boleh menggunakan logo MQA untuk tujuan pengiklanan atau masih menggunakan logo LAN?
Pihak IPT boleh menggunakan logo MQA bagi program pengajian yang telah
mendapat akreditasi dengan mengikut peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan.
No comments:
Post a Comment
SEGALA MAKLUMAT INI AKAN DIREKOD. TERIMA KASIH DIATAS KERJASAMA ANDA.